yaqut hulaif

The official blog of Furqan Rezqi

Jiwa-jiwa yang dahagakan redhaNya!

Sunday, May 21, 2017

Murabbi Pertama

Jika mahu ditulis segala kebaikan al-marhum tidak akan habis.

Sewaktu saya baru sahaja habis pengajian di universiti, beliau antara insan yang bertanya tentang apa yang akan dibuat selepas graduasi, sama ada sambung belajar atau bekerja.

Waktu itu saya masih tercari-cari hala tuju, saya bekerja sebagai juruwang di sebuah supermarket, al-marhum menceritakan pekerjaan saya itu kepada anak murid beliau, iaitu pelajar ijazah sarjana muda ketika itu, sehingga menjadi bualan.

Ketika saya sedang bekerja juga, beliau memasukkan wang ke dalam poket baju, ketika itu kami bertiga lepasan universiti bekerja sebagai juruwang di supermarket tersebut mendapat jumlah wang yang sama.

Jika mahu ditulis semua kebaikan beliau tidak akan habis.

Al-marhum terkenal dengan kepakaran di dalam perbankkan Islam, kepakaran beliau diperlukan dalam negara dan luar negara, jika dilihat kehidupan beliau begitu sempurna, namum kerendahan hati dan budi dan sifat pemurah membuatkan beliau kelihatan seperti orang biasa sahaja, seperti orang kebanyakan, jika tidak dikenali maka tidak akan dibanggakan.

Isteri beliau, juga guru saya ketika di universiti, mereka pasangan yang sangat membahagiakan jika dipandang, pasangan yang di raut mukanya sentiasa memberikan senyuman, memberikan motivasi, memberikan inspirasi, contoh kepada kami semua pelajar.

Namum pada hari tersebut, ustazah (isteri kepada al-marhum) mukanya merah, matanya merah, raut wajahnya kesedihan, itu kali pertama saya memandang insan yang hebat itu berada di dalam kesedihan, kerana merekalah pasangan yang memberi inspirasi, contoh kepada semua orang yang pernah disantuni mereka.

Kematian ini kematian yang 'menghidupkan', menguatkan, membangunkan, terutama kami sebagai anak murid, yang pernah disantuni al-marhum.

Kematian ini merupakan antara yang saya tidak sedar yang saya mengalirkan air mata, sungguh ia memberi kesan, terasa kebaikan al-marhum.

Khidmat terakhir sebagai anak murid, bersama menyolatkan jenazah, sehingga mengiringi ke tanah perkuburan, semua orang menangisi pemergiannya.

Moga ustazah kuat, sesungguhnya saya sebagai anak murid tidak layak berkata sedemikian, kerana ustazahlah yang menguatkan saya atau kami sebegai anak murid, ini juga merupakan doa.

Selagi saya ada, semampu yang ada, akan terus meyantuni dan berkhidmat kepada keluarga al-marhum, itulah cita-cita yang termampu untuk diberi.

Damailah engkau di sana murabbi, hidupmu memberi segalanya kepada kami, pemergianmu menjadi kesedihan kawan, golongan ternama, anak murid, mahupun tukang cuci di universiti.

Sehingga kini saya masih terbayang raut wajah al-marhum, senyumannya, dan tanah perkuburan yang kami menghantarmu pergi.

Pemergianmu memberi kesan, kebaikanmu sentiasa dirasai.

Catatan ini buat saya, agar semasa saya membaca semula catatan ini saya tak lupa akan rasaan hati saya saat ini ketika perginya murabbi yang dicintai ramai. 21 May 2017 6:20 PM.


Prof Dr Joni Tamkin Borhan (18 June 1966 – 19 May 2017)

1 comment:

Followers