yaqut hulaif

The official blog of Furqan Rezqi

Jiwa-jiwa yang dahagakan redhaNya!

Monday, January 11, 2016

Hidup: Permulaan - Bahagian 1

Beberapa pelajar universiti Malaya telah terbunuh di dalam kejadian tembak menembak di dewaan besar peperiksaan, soalan membunuh.

infinite dreams by rhads


Kepala biul, kini sampai saat untuk menikmati cuti semester, namun tetap mahu habiskan masa bersama rakan-rakan serumah dua ke tiga hari, meronda Kuala Lumpur atau bakar ayam sambil mandi manda di Hulu Langat.

Malam ini bas pulang ke kampung, perjalanan 8 jam punya satu slot masa yang meletihkan dan membosankan. Bayangan wajah keluarga, sawah, sungai dan laut menjadi punca sebenar tetap mahu menempuh juga perjalanan menjemukan ini.

Abah seperti biasa, berjabat cium tangan dan memeluk, dan menceritakan apa yang terjadi berkaitan sanak saudara di kampung sepanjang ketiadaanku, kematian, perkahwinan dan sebagainya, terus mendapat banyak berita terus dari abah, sehinggakan aku terlupa bahawa si fulan atau fulanah sudah mati sebenarnya, tapi aku tak tahu dan terlupa.

Esok puasa, malam ini tarawikh, tetap seperti dulu perangai aku yang tidak berubah, mencari imamnya yang bersuara sedap, memulas minyak motor menuju sana memecut laju mengabaikan kewujudan surau kecil di kampung yang pernah suatu masa dahulu aku pernah menjadi imam di sana walau ketika itu masih kecil.

Menceritakan tentang imam dan ada kaitan dengan bacaan al-Quran, maka teringat arwah emak, paginya bersama al Quran di kampung sebelah sana, petangnya bersama al Quran di sebelah kampung sini, sebelah malam mengajar anak kampung, penuh anak muridnya di ruang tamu rumah.

Itu arwah mak, aku juga tolong mengajar al-Quran, dan hasilnya aku punya anak murid juga dulu, dan mereka berjaya mengaji hingga masuk al-Quran walau tak sempat habiskan bersama aku, setelah aku mendapat tawaran ke sekolah berasrama.

Malam itu selesai tarawikh, imam pelajar tahfiz dari Thailand, kebiasaan di negeri aku mengambil imam dari sana setiap kali ramadhan di kebanyakan masjid kampung, dan setelah selesai ramadhan sentiasa aku menyesal bila tak sempat berkenalan dengan si imam, mungkin mereka lebih muda, dan ada juga dalam kalangan mereka sanak saudara aku di Thailand.

Memulas motor pulang ke rumah, sambil meniru bacaan al Fatihah si imam, setiap malam aku begitu, ramadhan aku begitu.

Jam dua pagi, abah akan kejut abang dari tidur, kemudian abang pula akan kejutkan aku, pagi ini aku akan ke laut, kami bertiga, aku, abang dan pak ngah, berbekalkan kopi panas di dalam thermo atau bekas air panas, bersama roti, kadang nasi bungkus.

Ke laut, cuacanya semestinya sejuk, sambil mata terasa perit dan pedih tidak cukup tidur, aku mengenakan jaket tebal, baju dua lapis, bertopi, jika dihelah nafas panjang terasa kesejukannya hingga ke esophagus salur makanan, sampai ke otak, mungkin ini caranya menghisap ‘rokok’ dengan udara sejuk laut, bukan udara segar, tapi udara sejuk.


Aku keluarga nelayan, kami orang susah, kata orang bandar miskin itu aib, lupa mereka, ikan yang mereka makan hasil kerja kami. Aku anak pesisir, Kuala Perlis, seperti yang dimaksudkan oleh Pramoedya Ananta Toer.

Bersambung.

Followers