yaqut hulaif

The official blog of Furqan Rezqi

Jiwa-jiwa yang dahagakan redhaNya!

Saturday, March 17, 2012

Mendaki puncak menuju Ilahi

Oleh : yaqut hulaif

Ramai manusia yang memuja alam semesta kerana mudah sahaja dinilai oleh dua mata. Puja, cinta bunga akan layu, hancur dan musnah tiada apa. Mata melihat dan akan tertipu jika tidak difikir dan tidak diagungkan kepada yang berhak diagungkan.

Setiap seseorang daripada kita mungkin pernah merasai saat jatuh bangun di dalam menjalani hidup, dan semestinya ramai yang mampu bangun sendiri atau bantuan dalam apa cara sekalipun.

Jatuh dan bangun yang dimaksudkan bukanlah jatuh bangun membina kemewahan dan kekayaan, bukan jatuh bangun dalam membina ikatan cinta antara lelaki dan perempuan , bukan jua jatuh bangun dalam membina kerjaya masing-masing.

Namun, jatuh bangun ini adalah dalam ruang kehidupan yang lebih besar lagi. Ia adalah jatuh dan bangun dalam keimanan.

Kadang-kala diri terperosok ke dalam lembah jahiliyah, kadang tersedar namun karat-karat jahiliyah itu tetap melekat, kadang-kala diri berjaya mendaki puncak keimanan untuk menghirup udara dan cahaya iman untuk hati yang semakin lesu.

menuju puncak penuh yakin

Mencari puncak kepuasan.

Aktiviti harian di kampus mahu pun di tempat kerja dan rumah kadang mendatangkan jemu. Seperti biasa bangun tidur ke kuliah, kafe, dan katil. Itu hidup mahasiswa kata orang.

Berkerja pula sentiasa ulang perkara yang sama dan kadang mendatangkan rasa jemu. Segalanya bagaikan kosong, hanya melakukan rutin tanpa rasa seperti mula-mula masuk kampus atau seperti pada mula berkerja.

Kepompong itu boleh dipecahkan, ada yang membuat pelbagai perkara lain mengisi masa di hujung minggu. Setiap perkara ini perlu kerana ia merupakan satu komitmen yang perlu dikorbankan agar berhasilnya kepuasan atau sesuatu yang baru selain rutin harian di tempat kerja dan di dalam kampus universiti.

Mendaki saya katakan seperti minat baru saya. Puncak gunung kejayaan didaki dengan kesungguhan hati, komitmen yang tinggi serta perjuangan yang tidak kenal lelah, melalui jalan kehidupan yang berliku, curam, tajam dan tak bertepi.

Syurga dunia.

Kepuasan boleh sahaja dicari di dunia ini, ia seperti syurga hayat ini. Mencari kepuasan dengannya perlukan cara agar ianya bermakna dan tidak sia-sia.

Baru-baru ini saya ada mengikuti satu aktiviti pendakian gunung, Gunung Nuang, Pangsun yang terletak di Hulu Langat, Selangor. Puncak tertinggi di Selangor. Anjuran Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH) Universiti Malaya.

Setiap seseorang saya rasa mesti mahukan kepuasan dan kepuasan itu dicari untuk memenuhi rasa hati. Memenuhi dengan pengalaman baru dan sebagainya, ia berkait dengan emosi rasa dan perkara atau sesuatu yang dilalui.

Emosi rasa dan perkara yang dilalui inilah yang penting, mendaki gunung itu penting sebagai aktiviti utama, tapi yang lebih pertama yang perlu diambil cakna emosi rasa dan perkara yang dilalui sepanjang pendakian.

Adakah ia sekadar daki dan terus daki atau dakian yang memenuhi relung hati dan fikiran dengan berfikir dan mengaitkan segala yang dilalui dan dilihat dengan sesuatu yang besar, iaitu bagaimana itu dan ini, sungai itu, daun ini, indahnya bunga itu, dan bagaimana dicipta.

Owh semestinya terasa kosong jika mind set ketika itu hanyalah puncak yang mahu dituju, dan sesudah sampai puncak gunung mahu berehat dan bergambar, kemudian melaungkan kata-kata puas, itu sia-sia, tiada kekuatan, cukup melemahkan. Memang sia-sia. Kemudian mengeluh peluh malas untuk turun ke kaki gunung.

Muslimah pencetus muslimen bertaqwa.

Saya pun tidak tahu mahu berkata bagaimana, tapi ketika sesi pendakian, rasa kagum tetap ada pada sebilangan muslimah yang turut serta dalam aktiviti pendakian gunung nuang ini, mahu juga mengatakan rasa bangga kepada mereka.

Kami dari pihak laki ini juga cukup lelah untuk mencapai puncak, namum lelah kami yang dikira kudrat kekuatannya lebih dari muslimah ini bagai dicabar. Hebat muslimah mereka tetap juga berjaya berpijak di tanah yang sama dan menghirup udara puncak gunung yang segar sejuk bersama.

Walaupun riak muka cukup mengatakan tersangatlah penat, tujuan untuk mencapai puncak tetap diteruskan. Golongan muslimah ini bagai mencabar ego lelaki yang keras apabila disapa lembut dengan semangat yang dinyalakan sedikit demi sedikit yang ditunjukkan oleh muslimah.

Keadaan ini boleh dikaitkan dengan jodoh, cukup banyak ya saya mengatakan pasal jodoh, cinta dan pasangan. Cuba fikirkan, kita ini lelaki, mendengar akan perkhabaran hebatnya harum agama si dia, hati rasa terus tertarik, soalkan kembali pada diri, monolog dan fikirkan.

Layakkah si muslimah itu untuk aku? Dia seperti lebih mengenali Islam dari aku. Itu cetusan dari lelaki. Jika betul cetusan ini sahaja yang terlintas dari semua lelaki, untunglah.

Tidak kurang ada yang memuja wanita dek cantik, kerana nafsu mudah merangsang dan menarik. Dikorban kesenangan hidup untuk memiliki nikmat sementara, hingga terkorban maruah dan nilai agama.

Alhamdulillah jika mendengar dahulu hebat agama si dia dari perkara lain, namum zaman sekarang yang pertama dilihat ialah kecantikan. Setelah nampak cantik melalui pandangan mata barulah diselidik latar belakang si muslimah, jika tidak cantik sebelah mata pun tak pandang. Cantik sahaja dua ke tiga kali dipandang, esok cari lagi, dan pandang lagi.

Jika agama si dia itu berbau harum dan boleh dikenali harumannya bagaimana, mesti mudahkan? huhu.

Jika dosa berbau busuk?

Antara yang bersedia menyahut cabaran =)


Penciptaan yang tidak sia-sia.

Saya melihat pokok, tumbuhan renek dan ada bunga padanya walaupun daunnya seperti rumput yang dipijak di padang bola sepak. Subhanallah. Terasa ingin cabut sahaja dan simpan untuk ditanam di rumah. Rasa keinginan itu mencuit, tapi tidak dilakukan. Pantang melihat kecantikan pasti mahu. Kadang cantik tidak bererti baik, pahit itu penawar, cantik kadang tipu helah disebalik keracunan.

Pokok indah penciptaannya jika direnung, pokok tidak bosan terus hidup, berusaha mencari cahaya matahari di dalam celahan hutan. Lihat pokok tiada jemu. Lihat pokok besar pula tinggi melangit, akar dan banirnya melepasi kepala.

Itu semua boleh disebut, pokok itu cantik, air sungai itu indah sejuk bagai air sejuk ketulan ais. Tapi perlu disebut dan difikirkan agar ia tidak sia-sia, penciptaan yang agung.

Jika dilihat pada helaian daun, tidak semudahnya untuk menciptanya. Manusia hanya mampu mengubah ciptaan ini, tetapi tidak mampu untuk mencipta asalnya sesuatu penciptaan. Lihat pokok biarkanlah pokok itu hidup, jangan diganggu, pokok itu makhluk ciptaan Allah, dia sedang menjalankan tugas, sebagai apa yang telah dia diciptakan, jangan diganggu.

Daun hijau menyejukkan mata, ranum kering hijaunya daun tetap berguna, bila gugur menyembah bumi lantas membajai suburkan alam ciptaan Ilahi. Setiap ciptaan punya peranan masing-masing.

Lihat aliran air sungai, jangan dihalang alirannya, jangan dikotorinya. Aliran airnya atas kehendak Ilahi. Jangan digangu dan jangan disiakan. Guna, sebaik mungkin.

Jangan diganggu ciptaan Allah yang sedia indah untuk ditatap, indah rasa hati melihat, mata memandang puas dan difikirkan betapa hakikat segala kuasa penciptaan alam ini terletak pada Allah.

Terasa kerdil. Manusia merupakan salah satu daripada penciptaan agung dari semua ciptaan Allah. Tahu manusia itu khalifah, sebagai leader di atas muka bumi, maka setiap ciptaan lain jangan disiakan dan digunakan sebaiknya.

ayuh tingkatkan nilai taqwa


Pendakian menuju Ilahi.

Cintakan Allah kekal buat selama-lamanya. Pujalah Tuhanmu sungguh tidak mengecewakan. Cintailah Dia kekal tiada akhirnya. Gunalah segala-galanya untuk memperhamba pada-NYA. Buatlah apa sahaja selagi benar untuk Ilahi.


||Daripada Abu Said r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda|| 

“Sesungguhnya dunia adalah manis dan hijau (yakni menyenangkan sekali) dan sesungguhnya Allah menjadikan engkau semua sebagai pengganti di bumi itu (untuk mengolah dan memakmurkannya). Maka ALLAH akan melihat bagaimana yang engkau semua lakukan-untuk dibalas menurut masing-masing amalannya. Oleh sebab itu, bertaqwalah dalam urusan kaum wanita.’’ 

(Riwayat Muslim)


Nikmat di tangan manusia ini jika ditarik sekelip mata, adakah kita mampu membuat aduan terus  kepada si pencipta? Kemudian nikmat itu kembali ada seperti sedia kala?

Nikmat di tangan ini, nikmat atas segala nikmat yang diperoleh, bersyukurkah kamu semua? Setiap insan pasti merasai segala nikmat kurniaan Ilahi, perlu disyukuri sepenuh hati.

Mendaki puncak keimanan untuk menghirup udara dan cahaya iman untuk hati yang semakin malap. Segarkan iman anda, Tarik nafas panjang dan lepas, ingat Allah di hati dan fikirkan sekali lagi, moga setiap sesuatu ada redha Ilahi.

18 Mac 2012 02:46 a.m UMKL, Allah Engkau Dekat, Penuh Kasih Sayang. Mencari kembali semangat menulis seperti dahulu, ini sahaja yang termampu dikongsi, doakan saya. Mari Menjadi Hamba.

6 comments:

  1. boleh tak nak share post ni kt fb?

    menarik..
    kita semua tgh m'daki, tapi kkadang t'jatuh time leka..

    ReplyDelete
  2. saya cell191 >

    silakan, moga bermanfaat..^^

    ReplyDelete
  3. satu entry dan perrkongsian yang amat bagus..

    ReplyDelete
  4. salam. suka saya membaca karya anda. menarik. :) masih beljar di UM ke?

    ReplyDelete
  5. aslm..perkongsian yg bermanfaat :)..
    smga xde bnda yg m'bataskan dri kta utk mencari keredhaan Allah swt

    ReplyDelete

Followers