yaqut hulaif

The official blog of Furqan Rezqi

Jiwa-jiwa yang dahagakan redhaNya!

Friday, December 9, 2011

Kau Terhebat

Oleh : yaqut hulaif

Sejauh mata memandang nikmat itu menghilang, tidak sempat untuk dihargai. Sejauh mata memandang nikmat itu ditarik, belum sempat untuk dihargai. Apabila sumber kekuatan pergantungan ditarik, jiwa lesu, hati sebak, lemah tanpa sebab, tetap ada kekuatan tetapi tetap lesu, di dunia itulah sumber pergantungannya. Apabila kekuatan itu disentap.

kau terhebat

Sentap tiada bicara, disentap tanpa kata, nikmat itu, sejauh mata memandang dia menghilang. Tanpa sebarang perkhabaran. Hati bagai disentap, jiwa mahukan sokongan, lemah tubuh tiada daya.

Sejauh mata memandang, sumber kekuatan itu kembali kepada penciptanya. Kembali setelah selesai mendidik, setelah selesai  menunaikan amanahnya, setelah selesai menyayangi zuriatnya, dia pergi. Tanpa kata.

Sayangnya masih terasa, bagai baru semalam mencium dan memeluk, bagai baru semalam dia mendodoikan tika tidur, bagai semalam dia menemani tika malam, bagai semalam dia berjaga menemani tika kesakitan. Aku ingat, aku menangis.

Didikannya, sayangnya, pengorbanannya, keluh kesahnya, bagai semalam dapat diingat kembali. Perjalanan hidup bersamanya mahu sahaja dirakam, masih segar diingatan, mahu sahaja ditonton kembali, mahu sahaja dilihat di mana telah aku menyakitinya?

Episod hidup dengannya hanya sekali, sekali itulah perlu dihargai, jika diberi peluang kedua pasti mahu menghargai, tapi hanya sekali. Saya mengajak kalian. Saya cemburu dengan kalian. Anda masih ada kesempatan.


kata aku, rasa masih belum menghargai. Tak, dah hargai, dah ikut pun apa yang dikata, itu yang dia nak, kata kakak.


Rasa diri belum cukup berbuat baik, rasa diri belum pernah memberikan kepuasan hatinya. Aku hanya memberi renyetan, rintihan, keluhan agar dia terus memberi perhatian, agar aku terus mendapat sayangnya atas setiap pengorbanannya.

Tiada kata dua, dia kembali, tiada yang abadi. Menyingkap di benak fikiran, masa hadapan yang diimpi sekelip mata berubah. Sumber kekuatan itu tiada, aku bagai keseorangan, bagai mencari dimana kuat itu, beri aku nikmat kekuatan ya Allah.

Nikmat itu pergi, yang pastinya akan pergi, sudah pasti, sudah tertulis, sudah dijanjikanNYA, antara awal atau lewat, tiada siapa tahu, tiada siapa mahu diawalkan.

Perit bila tiada, indah bila ada, aku mahu menghargai, terasa masih belum menghargainya. Terasa sahaja ingin memberitahu kepada mereka-mereka yang masih ada kekuatan itu, ingin sahaja mengatakan, hargailah kekuatan itu ! hargailah dia ! hargailah dia ! entah kata begaimana yang aku mahu sampaikan.

Tiada keupayaan bahasa untuk menghuraikan~sekadar untuk mencapai ketenangan hati dan akal untuk mentafsir, memberitahu dan menyampaikan.

Tak usahlah risau dengan nikmat yang belum tercapai namun risaulah pada nikmat yang ada dan belum kita syukuri. Nikmat kasih sayang.

Mereka masih ada kekuatan itu, sebab itulah mereka tidak merasa, sebab itulah mereka tidak faham, mereka tidak faham, monolog aku, lemahnya aku. Mereka merasa indah kerana kekuatan itu ada, kekuatan itu masih menemani, pabila tiada baru hendak menghargai.

Tiada yang abadi, aku jua akan pergi, kamu jua akan pergi, mereka juga akan pergi, kekuatan itu akan pergi, kita juga akan menjadi sumber kekuatan, berbaktilah, berkorbanlah, dan belajarlah untuk menghargai.

Ya Allah, temukan aku ibrahnya, ya Allah,  ya Rahman, ya Rahim.

Aku ingat kembali, kata saudari ini, kadang takut rasanya bila biarkan anak perempuan pergi belajar jauh-jauh, pelbagai suasana di luar sana.
 Balas dia, anak-anak pergi belajar, pastinya dirisau akan keselamatan di luar sana, tapi kerana hendak belajar, doalah dari jauh.

Dia menembak doa dari jauh, dahsyatnya doa kerana  di dalam tubuhnya mengalir deras darah keibuan.

Perasaan kasih sayang yang Allah berikan kepadanya demikian kuat. Inilah yang menjadi sumber kedahsyatan doa untuk anaknya.

Kekuatan itu akan sirna, sumber pergantungan itu akan sirna, akan pergi buat selamanya, tiada yang kekal abadi, apabila sumber kuatnya pergantungan itu pergi, seluruh jalan kehidupan lemah lesu.

Dia hamba, kita juga hamba, kita ada Allah, itu sumber kekuatan sebenar, tidakkah engkau melihat? Tidakkah engkau tahu? Allah lah sumber kekuatan kita yang sebenar !

Jangan engkau keluh jika nikmat itu tiada, jangan engkau meraung jika dia pergi. Kekuatan kita tetap ada. Memang tidak boleh hidup tanpanya, ya memang tidak boleh, terlalu perit, memang tak boleh selagi aku tidak bergantung pada KEKUATAN yang hakiki.

Bila diuji itu bicaraNYA, signal bahawa kita sangat perlukan Allah. inilah KEKUATAN. Kita ini lemah !

Sifat sayang Allah adalah lebih tinggi dari sifat sayangnya kita pada insan yang tersayang. Kerana Allah itu Maha Penyayang. Janji Allah itu pasti pada hambaNYA yang bersabar.

Tiada lagi penawar sepi cinta di teratak bonda. Tiada lagi dahsyatnya doanya. Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Semua akan merasai kehilangan, mudahkan aliran air matamu.

Bina kekuatan sebelum badai itu menerpa, wujudkan benteng keimanan jika terasa diri lemah. Jika ujian itu datang, itu tanda kasih, DIA sedang berbicara, balaslah kasih itu, moga merasa. Tanpa DIA, tiada ketenangan, tanpa ketenangan jiwa keluh kesah, DIA lah yang mengisi segala kelompongan hati.

Sayangi diri, kerana ada yang masih menyayangi, masih ada yang perlu disayangi, hargai kerana kita akan dihargai, pengorbanan tidak pernah sia-sia kerana pasti ada ganjaran.


Fikirkan, kita bergantung kepada apa yang sebenar-benar pergantungan?


Aku kuat ! aku tabah ! tapi bila disentap sumber kekuatan itu, aku jatuh tersungkur. Di mana sebenar-benar kekuatan? Di mana sebenar-benar pergantungan ? Kita perhambakan diri pada Allah.

Tiada kekuatan pada yang pergi, tiada kekuatan pada mempunyai ajal, KEKUATAN dan PERGANTUNGAN hanya pada yang abadi.

Ambil masa untuk berfikir, fikirkan apabila tiba saat itu, aku sudah merasa, jika anda belum, bersegeralah. 53 hari berlalu, masih segar dalam tarbiyah ujian itu, sebak masih kuat terasa. Temukan aku.

Dan apabila mata ibumu sudah tertutup, maka hilanglah satu keberkatan di sisi Allah, iaitu doa seorang ibu, Kamu tidak fikirkah?

family


Hitam putih jambangan bunga di satuan rumpun.

Hitam atau putih dunia ini akan ku tetap hargai dia,  yang aku panggil kasih saat suram atau duka, mak, akan ku ingat selalu. Tak akan aku lupa ingatan yang suci ini. Akan aku panggil kasih, dulu dan selamanya, tidak akan berubah, dia menunggu di sana.

Rasa kecewa ada apabila kaki penat berlari, akan tetapi kita akan  berjumpa disana.

Allah ta`ala berfirman:
 Maksudnya:
"(Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji".

(Surah al-Faathir : 15)



Baca, pisahkannya dengan emosi. Maaf kepada pembaca blog yaqut hulaif, penyampaian saya di laman ini tidak berterusan. Terima kasih atas segala doa. Terima kasih atas segala bicara yang menguatkan. Atas segala suntikan himmah !

18 comments:

  1. sedihnye bce. sbr ye korn :(

    ReplyDelete
  2. Perjalana hidup yg penuh berliku. bersabarlah wahai hati, ana jg sudah 4 tahun merasai apa yg anta rasa. dalam jiwa yang masih muda lagi tlalu mudah tsungkur ketika itu. bersabarlah wahai hati, antara semua insan itu adalah sama. Allah tahu akan percaturannya. Cuma yg dilihatNya sejauhmana kekuatan yg ada padanya. Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya Allaah itu tahu akan sgala sesuatu. ;) Sentiasalah berdoa kpd yg 'jauh'. amiin.

    ReplyDelete
  3. ALFatihah.

    Terasa genangan airmata.

    Moge terus mendoakan dia disana. Dan berusaha untuk menjadi anak soleh buat bekalan dia di sana.

    ReplyDelete
  4. Berlinang air mata.
    terus kuat dan terima kasih peringatan.

    ReplyDelete
  5. subhanallah..
    entry yg mnyentuh jiwa..
    sm0ga kasih Allah brsama kita semua..

    ~ sharing is caring..(^_~) ~

    ReplyDelete
  6. smoga tabah dalam menghadapi ujian Allah..DIA tahu apa yang terbaik utk KITA semua..

    ReplyDelete
  7. Bersabar dan redhalah wahai hati.. Smoga Allah memberi kekuatan dalam diri..

    Entry yg sngat bermanfaat untuk d'renungkan dan sya tmui kekuatan pdanya.. syukran..

    ReplyDelete
  8. al-fatihah....semoga sentiasa diberi kekuatan oleh Yang Maha Esa...

    ReplyDelete
  9. benar bagai dikata..
    seperti tertusuk tombak di dada..
    berlinangan air mata..
    sabarlah wahai hamba yang redha..
    atas setiap ketentuan dariNya..

    ReplyDelete
  10. tabah ye akh..moga tetap thabat..

    ReplyDelete
  11. redhakan lah wahai hati.
    yang pergi takkan kembali
    yang ada harus terus meniti.

    Al Fatihah atas pemergian bonda.

    ReplyDelete
  12. Al-Fatihah untuk Tok Yam.

    jadilah anak soleh yang sentiasa mendoakannya di sana :')

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum.

    Maaf lewat, dan maaf juga juga kerana saya kini amat mengejar masa. Tak sempat nak baca artikel ni.

    Insya-Allah, saya dah ketemukan link tutorial tu, boleh la cuba.

    1) http://www.terbelog.com/2011/10/cara-cara-dan-tutorial-memasang-kotak.html

    2)
    http://www.anastasyea.com/2011/09/cara-memasang-kotak-komen-facebook-dan.html

    Walahua'lam.

    Moga berjaya :)

    ReplyDelete
  14. Artikel ini memang menyentuh..
    Sabarlah..Dia pergi dengan baik..
    Mohon share..

    ReplyDelete
  15. sye dapat rasai ape yg yaqult hulaif rase..
    smoge terus kuat.
    ade hikmahnye,.
    walaupun sye sgt jelez pada mereka..
    Dan apabila mata ibumu sudah tertutup, maka hilanglah satu keberkatan di sisi Allah, iaitu doa seorang ibu..
    kite kene jadi anak soleh yg selalu mendoakan ibu kite di sana..

    ReplyDelete
  16. Smg tabah lalui hari2 ke depan saudaraku
    Izinkan sy share bberapa bait perkataan di sini.. jazakallah

    ReplyDelete
  17. SubhanAllah...
    Sedih dan mengalir air mata daku membacanya...
    Membuatkan daku tersedar dan muhasabah semula bahawa daku masih tidak mensyukuri dan menghargai nikmat yang daku masih miliki...
    Semoga segala doamu agar segala dosa bondamu diampunkan Allah SWT termakbul dan moga korn menemui bondamu di syurga nnti...insyaAllah..

    ReplyDelete

Followers